Berita Utama

Lebih 15,000 tandatangan desak tutup portal Mandarin

Ibarat penghinaan terhadap identiti nasional watan rakyat

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Petisyen mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup segera portalnya dalam bahasa Mandarin kini mencecah hampir 15,000 tandatangan.

Setakat jam 6.45 petang ini, seramai 15,067 telah menandatangani petisyen di platform change.org, sejak dilancarkan pada 19 September lalu.

Petisyen yang dilancarkan oleh Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) itu menyifatkan bahawa kewujudan portal SPRM dalam bahasa Mandarin adalah satu penghinaan terhadap identiti nasional watan rakyat.

Ketua Pemudanya, Hazwan Mohamad berkata, pihaknya mendesak SPRM supaya menutup laman portal itu dengan segera dan kembali kepada asas Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan pemerintah tidak seharusnya membenarkan ini berlaku sama sekali.

“Sepatutnya kita yang mengaku sebagai warganegara Malaysia, menerima secara total bahawa kita perlukan sebuah identiti nasional yang satu untuk memastikan perpaduan dan keharmonian semua rakyat Malaysia,” katanya yang juga Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA).

Sebelum ini, SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, tindakan itu menerima kecaman ramai pihak yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar dan memalukan.

Bahkan, tindakan SPRM itu turut dibimbangi akan mencetuskan ketidakpuasan hati bangsa selain Cina yang berkemungkinan akan menuntut portal agensi kerajaan itu untuk turut diwujudkan dalam bahasa mereka.

Bagaimanapun, Isnin lalu SPRM dalam satu kenyataan berkata, portal bahasa pilihan Mandarin sudah dilancarkan pihaknya sejak 2013 lagi.

Menurut kenyataan itu, disebabkan beberapa kekangan seperti kemampuan penterjemahan, portal tersebut terpaksa tidak diaktifkan dan mula dilancarkan semula baru-baru ini selepas perkara itu dapat diatasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button