Berita Utama

Melayu bukan bangsa lemah, patut bangga dengan kemampuan diri

Qaed Najdat, remaja 15 tahun juara World Skills Russia National

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Anak Melayu sekali lagi menempa nama di peringkat dunia selepas menjuarai pertandingan World Skills Russia National, baru-baru ini.

Lebih membanggakan apabila kejayaan itu dijulang oleh seorang anak muda yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar iaitu Qaed Najdat, 14.

Menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan itu, jurulatih yang juga Ketua Pegawai Akademi di Akademi Teknologi DS, Muhammad Ghazali Yaid meluahkan rasa bangga  terhadap kejayaan Qaed.

“Qaed adalah peserta termuda dalam pertandingan berkenaan, malah anak muda itu juga berjaya menewaskan wakil empat lagi negara lain iaitu UAE, Kazakhstan, Ecuador dan Ghana.

“Kejayaan ini adalah sesuatu yang membanggakan, bukan hanya kerana usianya yang masih muda, malah menonjolkan kemampuan anak bangsa kita,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ghazali yang juga Pakar Negara bagi WorldSkills 2019 berkata, kejayaan kebanyakan anak Melayu hari ini, adalah bukti bahawa orang Melayu bukanlah bangsa lemah seperti mana dimomokkan pihak tertentu.

“Jadi, tak perlulah kita nak rasa rendah diri walaupun kita negara dunia ketiga. Orang Melayu patut bangga dengan kemampuan bangsa kita sendiri.

“Jika kita yakin dengan kemampuan bangsa sendiri, kita mampu mencipta tamadun tanpa perlu mengikut acuan dari barat atau negara lain,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya melihat kekuatan bangsa sebagai satu aset bernilai dalam membina ketamadunan.

“Kita mahukan tamadun yang dibangunkan atas rangka ketamadunan Melayu Islam, bukan cenderung mengambil rangka orang lain.

“Kemampuan yang kita tonjol ini walaupun kecil, tetapi ia memberi refleksi kepada bangsa kita. Percayalah, kita mewarisi genetik daripada tamadun dahulu yang hebat.

“Genetik itu masih sama kita pegang sehingga ke hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button