Berita Utama

‘Saya PM sah, Anwar perlu buktikan dakwaannya’

Rakyat diminta bertenang, akan selesai isu ikut undang-undang, Perlembagaan

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan perlu dibuktikan mengikut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, tanpa melalui proses dinyatakan, kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama meminta rakyat supaya bertenang menghadapi situasi ketika ini.

“InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau juga mendakwa, sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Jumlahnya kukuh dan meyakinkan, jauh daripada majoriti kecil,” katanya tanpa mendedahkan bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button