Tak terkejut ramai lompat parti, bubar Parlimen langkah terbaik!
Harap Agong dapat buat sesuatu kembalikan kestabilan politik negara

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu membuktikan wakil-wakil rakyat suka dan terlalu senang melompat parti.
Kesannya, negara akan menjadi tidak stabil bahkan ramai pelabur akan keluar dari melakukan perniagaan dan pelaburan di negara ini susulan bimbang dengan situasi berkenaan, kata Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.
“Dalam keadaan pandemik yang menyebabkan ekonomi menjadi teruk ini, pastinya akan menyebabkan rakyat semakin menderita.
“Justeru, rakyat berharap Yang di-Pertuan Agong dapat berbuat sesuatu bagi mengembalikan ketenteraman dan kestabilan politik negara bagi mengelakkan pelbagai implikasi dan kekacauan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar hari ini mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.
Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, namun ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda pada Selasa jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN.
“Dengan sokongan, majoriti kukuh dan meyakinkan ini bermakna pada saat ini kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh,” katanya.
Melihat krisis politik yang tidak berkesudahan, Haji Aminuddin berharap supaya Parlimen dapat dibubarkan dan diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat.
Saranan itu katanya, kerana tidak tahan dengan sikap ramai Ahli Parlimen yang suka ‘melompat’ kiri dan kanan tanpa prinsip yang jelas.
“Akhirnya yang rugi dan menderita adalah rakyat tetapi mereka tetap senang-lenang di atas kerusi empuk dan gaji berpuluh ribu.
“Kita harap rakyat dapat membuat persiapan dan berani membuat perubahan untuk memilih calon yang paling berwibawa dan berprinsip tidak kira parti kerana kita sudah saksikan, parti tidak berjaya ‘mengikat’ diri daripada melompat tetapi sebenarnya prinsip dan kewibawaan,” katanya.