Berita Utama

Terlalu celupar, Mohamaddin wajar ditahan

Bekas anggota keselamatan ATM, PDRM digesa bantah kenyataan calon Warisan

BANGI, 5 Safar 1442H, Rabu – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi sewajarnya ditahan dan dibicarakan kerana celupar mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap anggota keselamatan berhubung insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, Mohamaddin jelas cuba merendah-rendahkan peristiwa yang meragut lapan nyawa angota perajurit ATM dan PDRM sebagai sandiwara percaturan politik pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Justeru, MUAFAKAT menyeru semua bekas anggota keselamatan dari ATM dan PDRM bangkit membantah kenyataan melampau YB Lahad Datu ini.

“Buat laporan polis dan buat kenyataan media kritik sikap biadab wakil rakyat yang menzahirkan sikap tidak mendukung Rukun Negara kelima.

“…ini kerana beliau lebih banyak menampilkan sikap ‘kebiadaban dan keangkuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, MUAFAKAT juga meminta pengundi Sabah bangkit membuka minda seluas-luasnya dan berani membuat pilihan terbaik dengan memilih calon wakil rakyat yang berwibawa yang layak mewakili rakyat Sabah ke Parlimen.

“…bukannya memilih pemimpin yang mulut celupar menghina pengorbanan anggota ATM dan PDRM bagi mempertahankan tanah air pada peristiwa berdarah krisis pencerobohan Lahad Datu 2013,” kata Haji Rashidi.

Terdahulu, tular satu video ucapan Mohamaddin yang juga bekas menteri Pakatan Harapan (PH) mendakwa pencerobohan di Lahad Datu, kira-kira tujuh tahun lalu hanyalah sandiwara.

Dalam video berdurasi lebih satu minit itu juga memperlihatkan Mohamaddin turut seperti memperlekehkan insiden Tanduo.

Berdasarkan video ucapannya itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu juga menganggap anggota keselamatan bukan ‘berperang’ dengan pengganas, sebaliknya hanya berperang dengan ayam dan anjing.

Bagaimanapun, Mohamaddin dilaporkan memohon maaf kepada anggota keselamatan dan mendakwa ucapan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Katanya, beliau tidak berniat memperkecil atau menghina anggota keselamatan yang berjuang menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button