Berita Utama

Agong dirayu bubar Parlimen, bersih negara daripada politikus kotor

Pemimpin kini asyik fikirkan kepentingan cita-cita politik peribadi

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Masih banyak lagi agenda nasional yang belum terlaksana, namun politikus sedang asyik dan sangat sibuk dengan perang perebutan kuasa serta pengaruh.

Kesal dengan situasi terkini politik negara, Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Dungun, Mohd Nasrul Muhaimin berkata, tidak menghairankan jika akan berlaku banyak lagi siri-siri peralihan kuasa kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum (PRU). 

Ini kerana, katanya, ramai pemimpin-pemimpin politik negara yang tiada prinsip dan pendirian. 

“Sudah terang lagi bersuluh, khidmat kurang sibuk rebut pengaruh, bukan seorang malah berpuluh-puluh, rakyat sekarang ramai yang mengeluh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Mohd Nasrul kesal apabila ada pemimpin yang asyik memikirkan kepentingan cita-cita politik peribadi serta mengaku mendapat sokongan majoriti.

“Ini adalah kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi. Bila pandai bercakap, dikatakan pandai berpolitik. Berpolitik untuk apa? Untuk kejar cita-cita politik peribadi jadi PM, untuk cari habuan, untuk tutup kes?,” soalnya.

Justeru, beliau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi membenarkan rakyat membersihkan kerajaan daripada pemimpin-pemimpin sedemikian.

“Wahai umat ku, cukup-cukuplah kita diperkotak-katikkan sedemikian rupa oleh pemimpin-pemimpin seperti ini. Insafilah kesilapan kita memberi kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin yang kurang wibawa ini ke Parlimen, baik di sebelah kerajaaan atau pembangkang,” katanya.

Mohd Nasrul berkata, beliau yakin ramai lagi pemimpin yang berwibawa dan bertakwa di luar sana yang lebih layak daripada mereka. 

“Cuma mereka tersisih dek kerana ketaksuban kita selama ini kepada blok kepartian yang sempit. Memilih hanya kerana ikut warna parti, tanpa mengira kelayakan, kewibaan dan reputasi mereka.

“Cukuplah setakat ini. Ayuh kita bersihkan kepimpinan negara dan gantikan mereka dengan pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan bertakwa. Jika mereka tidak bertakwa pada yang ghaib, apa jaminan kita mereka tidak akan khianat pada yang zahir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button