Berita Utama

Anwar perlu buktikan dakwaan dengan akuan bersumpah Ahli Parlimen

Tak mustahil pengumuman MP Port Dickson pengaruhi PRN Sabah Sabtu ini

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Rakyat dinasihatkan tidak menerima bulat-bulat kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim – kononnya mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, dakwaan Anwar perlu terlebih dahulu dibuktikan melalui akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani barisan Ahli Parlimen.

“Pada saya apabila Anwar mengatakan telah mendapat sokongan majoriti, itu hanyalah kata-kata.

“Perlu dibuktikan dengan beberapa cara termasuk melihat kepada SD atau pengumuman secara jelas daripada Ahli Parlimen. Jadi, kita tidak perlu menerima bulat-bulat kenyataan beliau lagi,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengumuman dibuat Ahli Parlimen Port Dickson itu mampu mempengaruhi proses Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu ini.

Hal ini kerana katanya, pengundi di negeri itu perlu memilih gabungan yang disenangi kerajaan Persekutuan demi masa depan Sabah.

“Hubungan antara Persekutuan dan negeri memberi impak besar dalam pembangunan di Sabah selain melihat bagaimana keakuran Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Semalam, Anwar mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam, namun tidak mendedahkan jumlah mereka yang menyokongnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button