Berita Utama

Bagaimana jika dakwaan Anwar dibuat tanpa bukti kukuh?

Kebebasan bersuara tak patut disalah guna hingga kelirukan rakyat, negara

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Tiada petanda jelas menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang didakwa Presiden PKR itu.  

Penganalisis politik, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, setakat hari ini boleh disimpulkan bahawa kerajaan sedia ada – yang dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong masih kukuh dan teguh. 

Bahkan, parti-parti yang menganggotai kerajaan atas nama Perikatan Nasional juga secara terbuka menyatakan kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Jadi timbul persoalan, adakah wajar seorang pemimpin membuat pengumuman bahawa Perdana Menteri ‘tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti’ tanpa asas yang kukuh?

“Bagi saya tidak wajar. Kebebasan bersuara tidak harus disalah guna untuk mengelirukan rakyat dan negara.

“Jika terbukti kenyataan itu dibuat tanpa bukti kukuh, maka ia adalah satu bentuk penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Apa lagi jika kenyataan itu membabitkan urusan Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Justeru, Dr Fathi berharap supaya cara sebegini tidak menjadi ikutan pada masa hadapan. 

“Moga pemimpin dan ahli politik kita mengutamakan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik sendiri. 

“Kita doakan moga Malaysia terus damai dan sejahtera dan mampu menghadapi wabak COVID-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Semalam, Anwar membuat pengumuman mengejutkan apabila mendakwa mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Dakwanya, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun tidak mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mendakwa, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button