Hampir 4,000 kes seminggu di Myanmar
Laksana semula sekatan perjalanan domestik di seluruh negara

YANGON, 6 Safar 1442H, Khamis – Jangkitan wabak COVID-19 di Myanmar semakin meningkat apabila hampir 4,000 kes baharu direkodkan dalam tempoh seminggu.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan, 3,868 jangkitan dan 73 kematian akibat virus disahkan di seluruh negara itu.
Sebanyak 869 kes dilaporkan pada Rabu, jumlah tertinggi dalam sehari sejak pandemik mula merebak di Myanmar.
Pihak berkuasa terpaksa melaksanakan semula sekatan perjalanan domestik di seluruh negara termasuk pusat perdagangan Yangon – dengan sekatan pergerakan yang ketat.
Baru-baru ini, pihak berkuasa mengarahkan syarikat penerbangan domestik menghentikan semua perkhidmatan dan melarang visa masuk serta penerbangan antarabangsa sehingga hujung bulan.
Sekatan sekali gus menyebabkan Yangon sunyi dan lengang walaupun Pilihan Raya Umum di negara itu semakin hampir. – Agensi