Berita Utama

Hanya Agong berhak buat keputusan

Peralihan kuasa tanpa bubar Parlimen atau PRU jika Parlimen dibubar

KUALA LUMPUR, 6 Safar 1442H, Khamis – Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk mengambil alih tampuk pemerintahan menimbulkan banyak persoalan.

Pakar Geostrategi, Azmi Hassan berkata, hanya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhak melakukan keputusan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tampuk pemerintahan.

Katanya, Agong boleh memutuskan peralihan kuasa dilakukan sama ada tanpa pembubaran Parlimen atau Pilihan Raya Umum jika Parlimen dibubarkan.

“Memang benar jawatan Perdana Menteri adalah bergantung kepada sokongan yang diperoleh melalui Dewan Rakyat.

“Jika benar dakwaan yang beliau telah mendapat sokongan majoriti, ini bermakna Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan sokongan Ahli Dewan Rakyat,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Sebelum ini Anwar mendakwa, mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Dakwanya lagi, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun tidak mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus bahawa Anwar mempunyai sokongan Ahli Parlimen UMNO, Azmi berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu memandangkan ia akan menimbulkan kekecewaan akar umbi UMNO.

Beliau berkata, mustahil parti itu boleh bekerjasama dengan DAP yang selama ini dianggap seteru.

“Perlu diingat mengapa Ahli Parlimen UMNO sokong Muhyiddin adalah untuk mengelak DAP dalam kerajaan.

“Oleh kerana DAP sudah menyatakan sokongan kepada Anwar, maka agak pasti DAP akan turut serta dalam kerajaan Anwar.

“Ini sudah tentu menyukarkan penerimaan akar umbi UMNO terhadap keputusan Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button