Berita Utama

Jika benar dakwaan Anwar, PRU15 langkah terbaik

MP lompat parti ibarat semut, di mana ada gula di situlah mereka berkerumun

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Langkah terbaik menangani krisis politik yang tidak berkesudahan adalah dengan mengembalikan kuasa rakyat bagi menentukan semula kerajaan yang berhak memerintah melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, PRU15 jalan penyelesaian terbaik, jika apa yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah benar.

Beliau berkata, pengumuman yang dibuat Presiden PKR yang mendakwa kononnya mendapat majoriti membentuk kerajaan bukan satu berita yang disambut gembira, sebaliknya membimbangkan rakyat.

“Sebenarnya tiada satu pun yang boleh memberikan keuntungan kepada watan ini. 

“Negara amat malang kerana memiliki barisan pimpinan politik yang telah hilang hala tuju, sebaliknya berjuang demi kepentingan parti politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam, namun tidak mendedahkan jumlah merekaaa yang menyokongnya.

Bahkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberitahu, beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.

“Saya menghormati pendirian Ahli Parlimen berkenaan,” kata Zahid. 

Melihat pendirian pemimpin yang makin bercelaru, Ustaz Zamani merayu kepada rakyat untuk memilih calon yang berwibawa, berintegriti dan mampu membawa agenda untuk mendaulatkan watan pada PRU15 kelak. 

“…diharap semua rakyat hendaklah mengenalpasti MP yang mudah untuk melompat dan tidak bermaruah.

“BERJASA melihat bahawa Ahli Parlimen yang melompat ini adalah MP mencari kepentingan diri.

“Mereka adalah spesis seperti semut di mana ada gula di situlah mereka berkerumun, bukan setakat berkerumun mati pun mereka sanggup. Mereka ini bukannya negarawan, tetapi tamak tahap sawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button