PRU15: Parlimen Padang Serai, DUN Tioman undi awal esok
Kertas undi awal disimpan dalam lokap polis untuk jagaan selamat
BANGI, 7 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Seramai 319 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan menjadi kumpulan pertama membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, 76 pengundi yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim mulai jam 8 pagi hingga 2 petang.
Bagi DUN Tioman, seramai 243 anggota polis akan mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Pengundi yang dikategorikan mengundi awal adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Adalah dimaklumkan juga, penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri, bagi pengundi yang hadir pada hari mengundi awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, SPR turut menyarankan pengundi yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.
“Kertas-kertas undi awal tidak akan dibuat pengiraan pada hari mengundi awal dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat.
“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dibuat pengiraan pada 7 Disember 2022, bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.
Ikmalrudin turut memaklumkan bahawa proses pengundian awal esok turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih.