Berita UtamaDunia

Pembangkang Arab Saudi lancar parti baru, gesa reformasi kerajaan

Tiada toleransi jika terdapat perbezaan pendapat dengan kerajaan Arab Saudi

RIYADH, 6 Safar 1442H, Khamis – Sejumlah pembangkang kerajaan Arab Saudi, kebanyakan mereka hidup dalam buangan telah membentuk satu parti politik baharu untuk menggesa reformasi di peringkat kerajaan.

Parti Perhimpunan Nasional (NAAS) membuat pengumuman itu, semalam meminta Parlimen melalui proses pemilihan dan memastikan pemisahan cabang perundangan, kehakiman dan eksekutif pemerintah dilindungi.

“Kami mengumumkan penubuhan Parti Perhimpunan Nasional, yang bertujuan untuk membina jalan memjadikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan di kerajaan Arab Saudi,” menurut kenyataan kumpulan itu.

NAAS akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia, tanpa perlu melakukan demonstrasi di negara Arab Teluk Parsi, katanya.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan puluhan aktivis, blogger, intelektual dan lain-lain yang dianggap sebagai penentang politik sejak Mohammed bin Salman (MbS) menjadi Putera Mahkota pada tahun 2017, menunjukkan toleransi hampir tidak berlaku sama sekali terhadap perbezaan pendapat walaupun dalam menghadapi kecaman antarabangsa.

Reuters melaporkan, kumpulan politik itu merancang untuk mewujudkan gerakan nasional apabila bekerja dengan ‘semua orang dari dalam dan luar keluarga kerajaan’.

Awal tahun ini, Putera Mohammed melancarkan kempen penangkapan baru terhadap bangsawan atas tuduhan cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan beliau dan ayahnya, Raja Salman.

Pada tahun 2017, beliau mengumpulkan ratusan putera dan ahli perniagaan kaya di Ritz-Carlton Hotel di ibu kota Saudi, Riyadh.

Beliau menuntut agar mereka menyerahkan sejumlah besar kekayaan sebagai bahagian daripada ‘kempen antirasuah’, yang menurut para pemerhati bertujuan untuk menguatkan pegangan Putera Mohammed terhadap kekuasaan dan memusnahkan pengkritiknya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button