Berita Utama

Peristiwa Crimea iktibar buat Sabah

Wajib letak kepentingan strategik negara mengatasi kempen politik

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Peristiwa pengilhakan wilayah Crimea di Ukraine oleh Russia melalui kuasa ketenteraan dan politik demografi pada 2014 seharusnya menjadi iktibar buat Malaysia dalam memelihara negeri Sabah.

Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berkata, politik Ukraine pada 2013 telah berpecah-belah apabila timbulnya pertembungan antara pihak pro-Rusia dengan pro-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).

Susulan daripada itu, Russia secara rahsia mengerahkan angkatan tentera dengan jumlah besar serta dalam tempoh cepat telah menawan Crimea pada tahun 2014, yang sebelum itu diserahkan oleh Kesatuan Soviet kepada Ukraine.

“Langkah Rusia itu ibarat blitzkrieg hinggakan Ukraine yang berpecah-belah akibat politik itu hanya mampu melihat pengilhakan Russia,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini.

Dalam konteks Sabah hari ini, Abdul Muein berkata, ahli politik di negara ini tidak seharusnya alpa mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan.

Beliau berkata, pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr secara terbuka mendakwa bahawa Sabah bukan lagi milik Malaysia.

Dakwaan itu sekali gus mengulangi kontroversi tuntutan Filipina ke atas Sabah seperti yang didakwa oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada tahun 2016.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang perlu diberi perhatian serius adalah kenyataan Setiausaha Agung Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani baru-baru ini, bahawa pihaknya sedang berusaha menuntut perkara sama ke atas Sabah, dengan sekurang-kurangnya 200 orang penceroboh Sulu yang terbabit menyerang Lahad Datu pada 2013 telah kembali.

“Mereka turut dilaporkan sedang dalam proses menggerakkan sokongan seramai sejuta warga Sulu di Sabah,” dakwanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Muein berkata, rakyat wajib meletakkan kepentingan strategik negara mengatasi kepentingan kempen politik kepartian.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengganas Sulu yang menceroboh Sabah pada 2013 telah berpecah dengan kerajaan Filipina.

“Sebaliknya, dalam kalangan kita pula sudah ada yang memilih untuk berpecah-belah merendahkan pengorbanan dan kepentingan pasukan keselamatan demi kepentingan politik kepartian yang sempit.

“Peristiwa pengilhakan Crimea oleh Russia perlu dijadikan iktibar. Jasa pasukan keselamatan kita jangan diremehkan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button