Berita Utama

Jawi diarah siasat perhimpunan promosi LGBT

Usaha normalisasi gaya hidup songsang tak boleh diterima

BANGI, 21 Syaaban 1444H, Selasa – Sebarang usaha mempromosi dan menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam serta fitrah insan sama sekali tidak boleh diterima. 

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perhimpunan ‘Women’s March Malaysia 2023’ di ibu negara, baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Ahad.

“Selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial Twitter dengan tanda pagar #WomenMarchMY yang menunjukkan beberapa foto aktivis perarakan berkenaan mengangkat bendera LGBTQ di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Slogan ‘Imagine if men are disgusted with rape as with periods’, ‘Child not pride’, ‘Trans woman are woman’ dan ‘Police your behaviour not my body’ jelas terpampang pada plakad di dalam perhimpunan itu.

Perarakan itu dipercayai ingin membawa suara menuntut perubahan kepada dasar dan undang-undang Malaysia.  

Antara tuntutannya adalah gaji yang sama seperti lelaki, pengakhiran kepada perkahwinan kanak-kanak, dan perlindungan sosial untuk ‘semua jantina yang tertindas’ — yang merupakan sebahagian daripada sembilan tuntutan mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button