Berita Utama

Status PKPD Kota Setar: Kedah kemuka syor kepada MKN

MKN akan putuskan selepas ambil kira semua keadaan

ALOR SETAR, 6 Safar 1442H, Khamis – Kerajaan negeri Kedah akan mengemukakan syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menentukan status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar, yang tamat tengah malam esok.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, bagaimanapun, enggan mendedahkan syor yang akan dikemukakan dan menyerahkan kepada MKN untuk membuat keputusan berdasarkan situasi semasa wabak COVID-19 di daerah berkenaan.

“Sama ada akan berlaku penamatan, perlanjutan atau perlanjutan secara bersasar, kita serah kepada MKN untuk putuskan, tapi kita tidak boleh maklumkan perkara yang akan kita syorkan itu.

“Kemungkinan sama ada dilanjutkan secara bersasar juga saya tidak boleh jawab sebab MKN akan putuskan selepas mengambil kira semua keadaan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Berkaitan COVID-19 di Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar, di sini.

Mengulas mengenai bantuan makanan kepada penduduk di Kota Setar, Muhammad Sanusi berkata sebanyak 6,500 bungkus bekalan makanan dihantar kepada mereka yang membuat permohonan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pejabat Daerah Kota Setar.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada kita untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button