Dunia

Suarakan nasib Kashmir di UNGA, Pakistan hargai usaha Erdogan

Sokongan Turki sumber kekuatan untuk rakyat Kashmir: PM Pakistan

ISLAMABAD, 6 Safar 1442H, Khamis – Pakistan menghargai dan berterima kasih kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kerana membangkitkan isu Kashmir ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam ciapan di Twitter semalam berkata, beliau menghargai usaha Erdogan membawa suara rakyat Kashmir di PBB. 

“(Pakistan) sangat menghargai Presiden Erdogan sekali lagi bersuara untuk menyokong hak-hak rakyat Kashmir ketika berucap di UNGA,” katanya. 

Imran berkata, sokongan kuat dari Turki menjadi sumber kekuatan bagi rakyat Kashmir dalam perjuangan mereka yang sah untuk menentukan nasib sendiri. 

Ketika berucap pada UNGA Selasa lalu, Erdogan menegaskan konflik Kashmir adalah kunci kepada kestabilan dan keamanan di Asia Selatan. 

“Tindakan yang diambil berhubung penghapusan status khas Jammu-Kashmir (yang ditadbir India) semakin menyulitkan masalah. 

“Kami memihak kepada penyelesaian masalah ini melalui dialog, dalam kerangka resolusi PBB dan selaras dengan harapan rakyat Kashmir,” katanya merujuk langkah kontroversi yang dibuat pada Ogos 2019.

Pada 5 Ogos 2019, kerajaan India membatalkan peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa istimewa kepada sebahagian besar rantau Kashmir.

Pengisytiharan itu diumumkan selepas pihak berkuasa Kashmir meletakkan sebahagian besar rantau itu dalam perintah berkurung. 

Sebelum ini, Jammu dan Kashmir yang ditadbir India diberi kuasa istimewa di bawah peruntukan perundangan India pada tahun 1950-an.

Mereka dibenarkan untuk mempunyai Perlembagaan negeri sendiri, kuasa perundangan dan eksekutif terhadap kebanyakan rakyatnya serta dilaporkan mempunyai kuasa autonomi yang lebih besar berbanding negeri-negeri lain di India. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button