UMNO, BN punca sekolah vernakular wujud hingga hari ini
MCA ambil kesempatan perkasa vernakular atas kelemahan pemimpin Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – UMNO adalah pihak yang bertanggungjawab dan menjadi punca kepada sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini masih wujud.
Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, sikap lemah pemimpin UMNO menyebabkan rakan komponennya MCA mengambil kesempatan memperkasa sekolah vernakular.
Beliau berkata, kewujudan dan pertambahan sekolah vernakular hari ini adalah sumbangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebelum ini.
“Desakan parti tamak haloba, DAP dan parti pijak Melayu, MCA sangat kuat sehingga dengan kekuatan ringgit mampu menundukkan pimpinan UMNO.
“Ini jelas di mana BN telah memasukkan pemerkasaan sekolah vernakular dalam manifesto pilihan raya.
“Ianya ditambah lagi melalui ucapan Datuk Seri Najib yang memberikan jaminan bahawa sekolah vernakular akan terus dikekalkan kerana pendidikan vernakular adalah termasuk dalam kontrak sosial,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Isu sekolah vernakular terus menjadi polemik apabila kerajaan sehingga kini masih kekal untuk mempertahankan kewujudannya meskipun banyak pihak mendesak ia dimansuhkan.
Sebelum ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) antara gerakan yang memfailkan writ sama berhubung keabsahan sekolah vernakular.
Ustaz Zamani berkata, situasi yang berlaku sekarang adalah kesan daripada tindakan sebuah parti Melayu yang terlalu mengharapkan undi bukan Melayu untuk kelangsungan hayatnya.
“Neraca yang diguna pakai oleh pemimpin parti Melayu adalah berdasarkan untung rugi dan apa yang aku dapat dan apa yang harus aku beri.
“Maslahah keuntungan kepada watan tidak langsung menjadi agenda parti, maka sebab itu pemimpin yang berwibawa serta beragenda dan mempertahankan identiti nasional tidak wujud dalam parti UMNO, yang menonjol silih berganti adalah pemimpin ‘warlord’.
“Pemimpin sebeginilah yang menjadikan sekolah vernakular masih wujud dan semakin bertambah,” katanya.