Uncategorized

COVID-19: Annuar Musa jalani kuarantin di Sabah

Setelah jadi kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Safar 1442H, Jumaat – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa dikehendaki menjalani kuarantin di Kota Kinabalu, Sabah setelah menjadi kontak rapat Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii yang disahkan positif COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan itu memaklumkan beliau telah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu.

“Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Annuar berkata beliau telah menjalani ujian RT-PCR di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua hari lepas dan disahkan negatif.

Katanya, beliau menjalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu hari ini dan keputusan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Justeru, Annuar berkata beliau terpaksa membatalkan kesemua jadual termasuk ceramah perdana bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, selain lawatan ke Pitas dan Kota Belud esok.

“Saya akan terus bertugas dari kediaman saya dan akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa,” katanya yang juga merupakan koordinator BN Pilihan Raya Negeri Sabah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button