Berita Utama

Undi PH ibarat masuk lubang biawak kali kedua

Idea 3 TPM boleh wujudkan perpecahan, bazir wang negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 28 Muharram 1443H, Isnin – Pastinya rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan termakan janji palsu Pakatan Harapan (PH) – kononnya Malaysia mungkin boleh memiliki tiga Timbalan Perdana Menteri sekiranya gabungan itu kembali berkuasa di peringkat Persekutuan.

Realitinya, penduduk kedua-dua negeri sudah matang dan akan terus berhati-hati selepas kecewa dengan pentadbiran PH sebelum ini yang sekadar bertahan hanya 22 bulan.

Penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir yakin rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan masuk lubang biawak kali kedua dan semua masih ingat sejarah hitam yang berlaku sepanjang PH memerintah.

“Sepatutnya PH membantu rakyat di sini, tetapi sebaliknya berlaku, mereka menafikan hak rakyat dengan menarik balik projek yang dilaksanakan termasuklah membatalkan pemberian 20 peratus royalti minyak.

“Ini semua tidak akan dilupakan, sepatutnya PH bantu tetapi apa yang kami dapat nikmati sepanjang dia memerintah sekadar duit RM30 yang dimasukkan di e-Wallet,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkumi pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung boleh direalisasikan jika PH kembali memerintah negara.

Dakwanya, menafikan jawatan nombor dua negara itu seolah-olah menafikan hak rakyat dari kedua-dua negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Prof Jeniri percaya apa yang digula-gulakan itu hanya janji kosong dan sekadar ‘kosmetik’ menutup diri mereka yang sebenar.

“Ini semua janji palsu hanya mahu menyedapkan kata-kata sahaja, cukup-cukuplah, kami sudah cerdik kali ini tidak akan terpedaya lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kenapa perlu ada tiga jawatan sedangkan semua itu hanya pembaziran dan merugikan wang negara.

“Jawatan itu tidak penting dan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja, sekarang ini kita perlu fokus untuk bantu negara bukan pentingkan individu tertentu,” katanya.

Bahkan, katanya, pelantikan tiga jawatan TPM wujud memberi risiko sehingga mewujudkan perpecahan.

“Mana boleh satu kapal ada tiga nakhoda, pasti berlaku persengketaan kerana masing-masing ada pendirian dan keinginan sendiri, idea berkenaan tidak praktikal.

“Adakah kita mahu wujudkan perkara itu sedangkan kita perlu mematangkan politik negara selain memfokuskan untuk menjadi negara maju dan tidak mahu ada rakyat susah di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

One Comment

  1. Tolong jangan siarkan berita yang menecahbelahkan UMMAT dan rakyat Malaysia.
    Sekarang bukan masa berpolitik.
    Saya kenal Jeniri Amir dari Sibu Sarawak,
    lepasan USM dan pernah menjawat jawatan pensyarah.
    Dahulu kristian dan beliau telah memeluk Islam sebelum berkahwin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button