Berita Utama

Jawi: Keputusan mahkamah penting elak warisan Melayu pupus

Pahang bimbang jangkaan PBB 6,000 bahasa, tulisan dunia hilang

KUANTAN, 7 Safar 1442H, Jumaat – Mahkamah Tinggi Kuantan, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman dibuat oleh tiga peniaga yang ingkar untuk meletakkan tulisan Jawi di papan tanda iklan mereka. 

Menyambut baik keputusan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus komited dalam memelihara adat budaya warisan negeri ini, termasuk dalam usaha untuk memartabatkan semula tulisan Jawi. 

Wan Rosdy berkata, beliau tidak mahu tulisan Jawi pupus seperti mana jangkaan dalam kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, PBB menjangkakan pada penghujung abad ini terdapat lebih 6,000 bahasa dan tulisan dari seluruh pelusuk dunia akan pupus sekiranya tiada tindakan yang bersepadu dilaksanakan untuk memelihara khazanah budaya tersebut. 

“Kita tidak mahu perkara ini terjadi dengan tulisan Jawi yang telah menjadi identiti bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan agama Islam di nusantara, tetapi sebagai budaya sejagat yang pada suatu masa dahulu pernah dikongsi oleh semua kaum di Malaysia. 

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur akan terus melaksanakan peraturan ini bagi memastikan tulisan Jawi terus mekar dalam ingatan anak-anak Pahang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tiga peniaga iaitu Jehan Abdullah, Phang Long Yen dan A Dana Palan mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat EXCO negeri pada 1 Mac 2018 untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi.

Mereka juga mahu pihak berkuasa tempatan menarik balik perintah bertarikh 3 April 2019 yang menghendaki semua premis perniagaan di bawah bidang kuasanya menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi, di sini menolak permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan arahan kerajaan negeri berkenaan dengan syarat penggunaan tulisan Jawi di semua premis perniagaan dalam daerah ini.

Sementara itu, Wan Rosdy menegaskan, rakyat perlu melihat impak positif daripada peraturan ini yang mana akan dapat membuka ruang bagi seluruh warga Pahang untuk mengenal atau mempelajari semula tulisan khazanah berharga ini. 

“Kepada seluruh anak-anak negeri Pahang Darul Makmur tidak kira bangsa, agama dan keturunan, pelihara dan sayangilah tulisan Jawi ini. 

“Jangan dibiarkan tulisan warisan yang bersejarah ini terus pupus ditelan zaman,” katanya.

Bermula pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda tulisan Jawi di kesemua premis-premis perniagaan negeri ini.

Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan Jawi ini juga merupakan satu tindakan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong pada  13 November 2018, agar tulisan warisan ini dipaparkan di setiap premis di negeri ini untuk dimartabatkan semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button