Berita Utama

Malaysia suarakan ketegasan isu Palestin, Rohingya di UNGA

Ketengahkan kepentingan tindakan bersama oleh negara anggota

PUTRAJAYA, 7 Safar 1442H, Jumaat – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengulangi ketegasan pendirian teguh Malaysia sejak sekian lama berhubung soal Palestin dan nasib yang menimpa kaum Rohingya di wilayah Rakhine, semasa menyampaikan pernyataan nasional Malaysia pada perbahasan umum sesi ke-17 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 26 Sept.

Dalam ucapan di perbahasan umum di New York yang dibuat menerusi rakaman video awal, Muhyiddin juga dijangka mengetengahkan kepentingan tindakan bersama oleh negara anggota, dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani cabaran global.

“Perdana Menteri juga dijangka membangkitkan isu berkenaan pembaharuan dalam PBB,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Tema perbahasan umum tahun ini ‘The future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective commitment to multilateralism – confronting COVID-19 through effective multilateral action’, bertumpu kepada kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa, di tengah-tengah kekacauan yang berpunca daripada pandemik COVID-19, menurutnya.

Wisma Putra berkata Minggu Peringkat Tinggi sesi ke-75 UNGA menampilkan tiga mesyuarat yang diberikan mandat peringkat tinggi, dengan Malaysia akan diwakili di peringkat kementerian.

Menurut kenyataan itu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dijadual menyampaikan ucapan di sidang kemuncak Kepelbagaian Bio pada 30 Sept menerusi rakaman video awal.

Sidang Kemuncak yang akan berlangsung di bawah tajuk ‘Urgent action on biodiversity for sustainable development’ itu dijangka mengetengahkan keperluan tindakan segera di peringkat tinggi dalam menyokong kerangka kerja kepelbagaian bio global pasca-2020, yang menyumbang kepada pelaksanaan Agenda Pembangunan Mapan 2030, di samping merealisasikan matlamat Wawasan Kepelbagaian Bio 2050 ‘Living in harmony with nature’.

Pada 1 Okt, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia secara maya kepada mesyuarat peringkat tinggi perhimpunan umum itu, pada hari ulang tahun ke-25 Persidangan Dunia Berhubung Wanita Keempat.

Selaras dengan tema ‘Accelerating the realization of gender equality and the empowerment of all women and girls’, mesyuarat peringkat tinggi itu dijangka mengetengahkan pencapaian, amalan terbaik serta cabaran dalam menangani ketidaksamaan gender.

Wisma Putra berkata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyampaikan kenyataan Malaysia di mesyuarat peringkat tinggi untuk memperingati dan mempromosi Hari Antarabangsa bagi Pemusnahan Sepenuhnya Senjata Nuklear pada 2 Okt menerusi rakaman video awal.

“Majlis memperingati itu disasar meningkatkan kesedaran orang ramai dan mendapatkan penyertaan lebih baik dalam kalangan ramai terhadap isu pemusnahan nuklear bagi mencapai negara yang bebas dari ancaman senjata nuklear,” menurutnya.

Wisma Putra berkata Malaysia kekal komited terhadap peranannya sebagai rakan PBB serta negara anggota; yang boleh dipercayai serta konstruktif, dan berikrar akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi memerangi pandemik COVID-19, dan pembinaan semula susulan kemunculan dunia pasca-COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button