Berita Utama

Operasi gempur: 942 premis laku kesalahan pencemaran alam

0.2 peratus daripadanya melakukan kesalahan berulang

BANGI, 7 Safar 1442H, Jumaat – Sebanyak 942 premis industri dikesan melakukan kesalahan membabitkan pencemaran alam sekitar dengan 0.2 peratus daripadanya melakukan kesalahan berulang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kesemua premis berkenaan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya, hasil Operasi Gempur yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak awal tahun ini.

Menurut Tuan Ibrahim, sejak Operasi Gempur dijalankan hingga 18 September lepas, sebanyak 2,956 tindakan penguatkuasaan telah diambil mengikut akta berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk 881 Notis Arahan, 2,005 kompaun bernilai RM4.01 juta, 37 penahanan operasi kelengkapan, empat premis digantung lesen, satu premis dikenakan Perintah Larangan dan 28 kertas siasatan disediakan untuk tindakan mahkamah,” katanya kepada media selepas menyertai Operasi Gempur Selangor 2020 di kawasan perindustrian Bangi, di sini hari ini.

Katanya, JAS memfokuskan operasinya ke atas premis atau lokasi berlakunya punca pencemaran yang terletak di hulu takat pengambilan air, premis menghasilkan beban pencemar yang tinggi dan buangan terjadual dalam kuantiti yang tinggi atau terletak di kawasan yang mempunyai isu alam sekitar.

“Tindakan tegas akan terus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran air sungai,” katanya menambah semua pihak perlu memberi komitmen bagi memastikan kualiti alam sekitar tidak terjejas dalam arus pembangunan pesat negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button