Berita Utama

Pendekatan dakwah Islamiah perlu ikut peredaran masa, persekitaran

Dakwah perlu dilakukan dalam bentuk penuh hikmah, kebijaksanaan

KOTA BHARU, 7 Safar 1442H, Jumaat – Pendekatan dakwah Islamiah harus mengikut arus semasa serta bersesuaian dengan persekitaran supaya dapat menyampaikan mesej sebenar tentang agama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu merupakan matlamat utama pihaknya untuk menyampaikan kepada setiap lapisan masyarakat bahawa agama Islam itu indah dan tidak dianggap ekstrem.

“Kita mahu menonjolkan Islam itu sifatnya sesuai sepanjang masa dan semua tempat. Justeru, dakwah perlu dilakukan dalam bentuk penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Pada masa sama, dakwah itu boleh membawa kepada rasa Islam itu indah dan tidak dianggap ekstrem sehingga menzahirkan kebencian atau permusuhan dengan sesiapa sahaja,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

“Sebagai contoh bila kita datang berdakwah di Kelantan, kita perlu memahami denyut nadi rakyat orang kampung di negeri ini dan pendekatan mana yang lebih sesuai. Di negeri lain pula mungkin pendekatan lain yang lebih sesuai berbanding pendekatan yang kita gunakan di Kelantan,” jelas Zulkifli.

Selain itu, beliau berkata penyampaian dakwah Islamiah juga perlu diperbetulkan semula dengan penuh kesopanan dan tatasusila memandangkan sifat murni itu dilihat sudah banyak terhakis dalam kalangan umat Islam.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata satu anjuran seminar khusus mengenai pengurusan kewangan dalam menunaikan umrah, bakal diadakan bagi mengelakkan individu menjadi mangsa penipuan pakej umrah.

Beliau menjelaskan selain daripada wujudnya pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan pelanggaran pakej umrah, terdapat segilintir individu yang tersalah mengatur jangkaan kewangan mereka sebelum menunaikan umrah.

“Satu memang ada jenis (pengendali pakej umrah) kaki menipu tetapi saya lihat jumlah itu amat sedikit. Kedua, kerana ada yang tersilap dan tersalah dalam jangkaan kewangan seperti ambil (pakej) dahulu selepas itu pengurusan tak betul, kemudian sudah membuat pembayaran hotel tetapi tak dapat, begitu juga dengan tiket kapal terbang, maka duit habis tetapi tak selesai.

“Maka, ini kami syorkan satu lagi seminar yang kita nak memperkuatkan tentang bagaimana cara pengurusan kewangan, kita boleh panggil Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta pengendali umrah yang benar-benar berjaya untuk menonjolkan (perkara) seperti itu,” katanya.

Beliau diminta mengulas serta memberi nasihat kepada orang ramai susulan laporan berita yang menyatakan sebanyak 3,883 pelanggaran pakej umrah antara pengelola dan jemaah direkodkan bagi 2012 hingga 2018, melibatkan jumlah tuntutan lebih RM24.1 juta. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button