Berita Utama

Sekadar dakwaan, tiada ruang Anwar menghadap Agong

Perlu buktikan Muhyiddin hilang kepercayaan di Parlimen dahulu

BANGI, 7 Safar 1442H, Jumaat – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sekadar pengumuman dua hari lalu tidak membuktikan apa-apa menurut Perkara 43(4), melainkan hanya persepsi ciptaan Anwar sendiri.

Mohd Khairul yang juga dikenali sebagai Buzze Azam menegaskan, sekadar memiliki Akuan Bersumpah (SD) tidak memadai, kerana Anwar sepatutnya membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen.

“Ya mungkin dihujahkan Muhyiddin tidak berani memanggil sidang tergempar Parlimen untuk tujuan ini.

“Tetapi sebagai politikus berpengalaman, Anwar Ibrahim boleh mengarahkan penyokong-penyokong beliau itu meletakkan jawatan secara berjemaah jika mereka memegang jawatan Kabinet atau GLC.

“Jika ini berjaya dilakukan Anwar maka mahu tak mahu, Muhyiddin akan terpaksa memanggil sidang tergempar Parlimen atau mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk meletakkan jawatan atau meminta YDPA membubarkan Parlimen mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa, tindakan Anwar yang mahu menghadap Agong bagi mempersembahkan sokongan majoriti seperti didakwa telah mengelirukan orang ramai mengenai peranan Seri Paduka.

Prof Shamrahayu berkata, Seri Paduka tidak berperanan dalam menentukan siapa yang memiliki atau hilang kepercayaan majoriti dalam keadaan tiada kekosongan jawatan Perdana Menteri.

Mengulas kenyataan itu, Mohd Khairul berkata, pandangan Prof Shamrahayu merujuk kepada situasi apabila jawatan Perdana Menteri masih ada penyandangnya seperti sekarang, serta perbezaannya jika jawatan itu dikosongkan – seperti mana Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

“Jika jawatan PM masih ada penyandangnya, maka hanya peruntukan Perkara 43(4) sahaja yang terpakai. Jadi di sini memang bermaksud Anwar tiada ruang untuk mengadap YDPA bagi mempersembahkan koleksi Surat-surat Akuan Bersumpah yang beliau perolehi.

“Dalam keadaan sekarang, DSAI sebenarnya sedang meminta YDPA menyemak kembali sama ada Muhyiddin masih mempunyai majoriti atau tidak.

“…sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kuasa kepada YDPA untuk membuat semakan berkenaan,” kata Mohd Khairul.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kuasa prerogatif Seri Paduka untuk menentukan siapa memiliki majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri hanya wujud di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa baginda di atas hanya wujud dalam keadaan telah berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri apabila PM telah meletakkan jawatan atau selepas keputusan pilihan raya umum.

“Jika jawatan PM masih ada penyandangnya, YDPA tidak boleh melaksanakan kuasa baginda di bawa Perkara 43(2)(a) berkenaan,” tegasnya.

Mohd Khairul berkata, jika di bawah Perkara 43(4) mana-mana Ahli Parlimen selain Anwar juga membuat sidang media memiliki majoriti, maka timbul persoalan sama ada setiap minggu Agong harus menerima permohonan menghadap mereka untuk menerima koleksi SD masing-masing.

“Jika ini dibenarkan, pastinya ini boleh dilihat sebagai mempersendakan kuasa prerogatif baginda yang telah melantik Muhyiddin sebagai PM di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab itulah, di bawah Perkara 43(4) berkenaan, hanya Perdana Menteri sahaja boleh mengadap Agong, bukannya Ahli Parlimen biasa seperti Anwar Ibrahim,” tegasnya.

Justeru, beliau menasihatkan Anwar agar tidak menghina Seri Paduka dengan permohonan mengadap untuk tujuan yang Seri Paduka tiada kuasa di bawah peruntukan Perlembagaan untuk melakukannya melainkan ini hanya akan mengakibatkan kesipuan.

“Mengadap jika hanya untuk menyampaikan Aa’fiah atas kesihatan baginda, itu tidak menjadi masalah Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button