Berita Utama

Zahid serlah sisi hitam UMNO, licik manipulasi kelemahan PAS

Sama ada berjaya atau tidak rancangan Anwar tak penting lagi

BANGI, 7 Safar 1442H, Jumaat – Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, termasuk rancangan peribadinya sudah tidak penting sama ada ia berjaya atau tidak.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman mendakwa, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih penting sekarang ini kerana telah menyerlahkan sisi hitam parti tersebut.

Ahmad Zahid berkata, ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

“Ramai, bermakna bukan lagi isu peribadi. Itu isu parti. Mewakili perangai parti. Perangai ‘selfish’, tamak, sombong, licik memanipulasi kelemahan PAS.

“Pertahankan Muafakat Nasional dengan konsistensi, kenyataan dan tindakan. Itu datangnya daripada MN sendiri. Jangan salahkan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melihat kepada situasi itu, Ustaz Mohd Hazizi menegaskan, BERJASA sebagai parti masa depan, dengan generasi dan minda baharu untuk mengupayakan umat sedang menyiapkan diri. 

“Kita akan tamatkan fenomena mencucuk hidung rakyat dengan wang dan ketaksuban, yang bertujuan mengekalkan kuasa di tangan ahli sarkas yang melompat-lompat di Parlimen,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan (kepada Anwar). Saya menghormati pendirian mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button