3.6 juta penduduk belum daftar mengundi, sesuatu perlu dilakukan!
Jika dibiar berlarutan, ketamadunan sesebuah negara akan pupus

BANGI, 8 Safar 1441H, Sabtu – Sebanyak 3.6 juta penduduk negara ini yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pengundi boleh dianggap sebagai fakta yang mengejutkan, kata Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Hasnah Hussiin.
Angka berkenaan, katanya, memberi gambaran kesedaran menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara masih membimbangkan.
“Persoalan untuk generasi kini, apakah kita sudah merdeka, negara sudah maju dan membangun, maka tidak perlu lagi menjadi pemilih?
“Tidak perlu lagi mendaftar sebagai pengundi, tidak perlu mengundi dan tidak penting lagi siapa yang memimpin?,” soalnya dalam artikel yang disiarkan BH Online, hari ini.
Beliau berkata, pemikiran seperti ini sangat tidak relevan dalam suasana atau persekitaran politik yang begitu mencabar.
“Lihat sahaja di negara luar, berapa ramai rakyat mereka diusir keluar dari negara sendiri? Berapa ramai terpaksa menjadi pelarian? Berapa ramai dinafikan hak sebagai warganegara?
“Bukan itu sahaja, pertumpahan darah menjadi saksi bukan mudah menjadi warganegara walaupun di tanah air sendiri.
“Tidakkah ini menyedarkan untuk melakukan perkara paling mudah iaitu mendaftar dan menjadi pemilih, seterusnya membantu negara membentuk kerajaan?,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kemungkinan sesetengah pihak melihat isu ini remeh untuk diketengahkan.
Namun, katanya, andai situasi ini dibiar berlarutan, ketamadunan sesebuah negara akan pupus suatu hari nanti.
“Pembentukan sesebuah tamadun bangsa banyak bergantung kekuatan politiknya. Kekuatan negara pula banyak dipengaruhi siapa pemimpin dan kerajaan memerintah.
“Kerajaan dan pemimpin tidak akan wujud tanpa rakyat yang memilih siapa pemimpinnya. Dalam kalangan rakyat, mereka juga pemimpin.
“Dengan lain perkataan, yang hari ini akan memilih yang hari esok. Jika yang hari ini tidak memilih, maka siapa yang akan wujud pada hari esok?,” katanya.
Bimbang dengan keadaan itu, Dr Hasnah menegaskan, sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini, khususnya mengelak nilai patriotisme generasi baharu daripada terus menurun.
Ini kerana, katanya, masa depan dan hala tuju pembangunan negara banyak bergantung peranan rakyatnya, maka kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka perlu sentiasa disematkan supaya negara bangsa Malaysia sentiasa relevan sebagai sebuah negara yang demokratik dan disegani.
Dalam pada itu, beliau mengesyorkan supaya pengajaran pendidikan sejarah dan kenegaraan dinilai semula bagi memastikan keberkesanan subjek itu dalam mendidik anak bangsa ke arah pemupukan nilai patriotisme yang lebih tinggi.
“Untuk merungkai masalah atau isu mengenai masih ramai belum mendaftar sebagai pengundi, kajian menyeluruh amat diperlukan.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada pihak tertentu atau sistem pendidikan negara.
“Masalah kepada akar umbi perlu diambil kira dan ia memerlukan kajian dijalankan segera bagi mengenal pasti mengapa ada dalam kalangan rakyat begitu berat mendaftar sebagai pemilih, apatah lagi untuk mengundi,” katanya.