Berita Utama

’37 kerusi tak stabil, satu lompat parti kerajaan boleh runtuh’

Adakah calon Bebas 'benar-benar bebas' atau ada yang taja?

BANGI, 8 Safar 1442H, Sabtu – Mana-mana parti politik atau gabungan parti perlu mendapat sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.

Namun, 37 kerusi memadai membentuk majoriti mudah, tetapi bukanlah angka selamat dan kukuh, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid.

Beliau berkata, jumlah 37 kerusi tidak stabil kerana dengan hanya satu tindakan lompat parti akan membuatkan kerajaan runtuh.

“Apa yang berlaku pada Mei 2018 perlu dielakkan berulang. Sebuah kerajaan kukuh dan mempunyai majoriti besar, sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN adalah perlu.

“Pengundi Sabah perlu sedar bahawa perlunya sebuah kerajaan stabil dengan bilangan kerusi yang selamat. Keputusan bijak hari ini sangat perlu,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Berdasarkan pemerhatian senario kempen dua minggu ini, Prof Yazid berkata, kedua-dua pesaing utama – Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing berhujah menarik sokongan.

Katanya, GRS – Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – masing-masing mempunyai hujah menarik pengundi.

PN bertanding di 29 kerusi DUN dengan parti utamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak 19 kerusi. Manakala, BN bertanding di 42 kerusi dengan parti utamanya UMNO sebanyak 32 kerusi DUN.

Jika kedua-dua parti utama GRS ini memenangi 80 peratus kerusi ditandingi sudah berupaya membentuk kerajaan negeri, katanya.

“Dengan kemenangan 80 peratus bermakna BERSATU mendapat 15 kerusi dan UMNO sebanyak 26 kerusi. Jumlah 41 kerusi disumbang UMNO dan BERSATU sudah cukup membentuk sebuah kerajaan stabil.

“Dengan tambahan parti komponen lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan MCA akan menambah lagi beberapa kerusi.

“Andai ini benar-benar berlaku, maka Sabah akan mendapat sebuah kerajaan negeri yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai calon Bebas, beliau mempersoal sama ada calon Bebas ini ‘benar-benar bebas’ atau ada yang menaja atas sebab dan kepentingan tertentu.

“Bagaimana kedudukan calon Bebas yang bertanding seramai lebih 50 orang? Adakah calon ini tidak akan mampu menang dalam PRN kali ini?

“Dalam sejarah pilihan raya Sabah dan Sarawak ada calon Bebas menang dengan sokongan beberapa faktor tempatan. Lokal dinamika juga satu faktor perlu dilihat dalam menentukan kemenangan seseorang calon,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button