Berita UtamaDunia

5 tahun berjuang, akhirnya boleh azan guna pembesar suara

Masyarakat mesti terima kepercayaan agama penduduk lain: Hakim

COLOGNE, 8 Safar 1442H, Sabtu – Selepas lima tahun, kemenangan akhirnya berpihak kepada masyarakat Islam Turki di bandar Oer-Erkenschwick di North Rhine-Westphalia, apabila mahkamah membenarkan masjid menggunakan pembesar suara ketika azan.

Kes bermula pada 2015, selepas penduduk tempatan membuat aduan bagi membantah kebenaran untuk umat Islam menggunakan pembesar suara sekurang-kurangnya 15 minit – antara tengah hari sehingga jam dua petang setiap Jumaat.

Sepanjang lima tahun sejak prosiding kes mahkamah dimulakan, sepasang suami isteri yang tinggal sekitar 900 meter dari masjid terbabit memaklumkan, mereka tidak mendengar langsung azan berkumandang.

Bagaimanapun, dalam prosiding semalam, mahkamah di Jerman menolak permohonan penduduk tempatan yang mendesak pihak berkuasa melarang masjid menggunakan pembesar suara ketika melaungkan azan.

Dengan keputusan mahkamah itu, maka masyarakat Islam di bandar terbabit kini boleh menggunakan pembesar suara ketika azan berkumandang.

Hakim Annette Kleinschnittger ketika bersidang menegaskan, setiap ahli masyarakat harus menerima kepercayaan agama penduduk setempat yang lain.

Katanya, selama ini tiada siapa yang dipaksa menganuti agama lain, jadi tiada alasan untuk membuat aduan mengenai laungan azan.

Ketika ini, terdapat lima juta penduduk Islam di Jerman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button