Berita Utama

82 kes baharu

Sabah kekal catat jumlah kes tertinggi

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1442H, Sabtu – Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu COVID-19 negara dengan 64 kes direkodkan daripada 82 kes baharu hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 79 kes penularan tempatan dan tiga kes import, menjadikan kes terkumpul wabak itu mencecah 10,769 dengan 133 kematian.

“Daripada 79 kes penularan di dalam negara, 53 kes membabitkan warga tempatan dan 26 kes bukan warganegara.

“Daripada 64 kes yang berlaku di Sabah, 33 kes daripada Kluster Benteng LD, 25 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, tiga kes saringan bergejala, satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa pulang dari Semenanjung, satu kes penyakit seperti selsema (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau dan satu saringan kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 15 lagi kes penularan tempatan membabitkan tiga kes di Negeri Sembilan iaitu dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan satu kes saringan ke luar negara, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Di Selangor pula terdapat dua kes penularan tempatan, masing-masing membabitkan satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan satu saringan tahanan, manakala Terengganu merekodkan dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah), katanya.

Sementara itu, Pahang, Johor dan Melaka masing-masing mencatatkan satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah), manakala Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan satu kes saringan petugas kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kes import membabitkan individu yang masing-masing pulang dari Yaman, Bangladesh dan Filipina.

Katanya, sebanyak 89 kes telah pulih hari ini, manakala lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini.

Mengenai status terkini dua kluster di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Benteng LD meningkat kepada 776 kes susulan pertambahan 33 kes baharu hari ini dan diikuti Kluster Bangau-Bangau yang bertambah 25 kes kepada 159 kes.

Dr Noor Hisham memaklumkan saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster berkenaan masih diteruskan serta status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button