Berita Utama

Buku teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa tonjol naratif prokomunis

Seleweng fakta beri kesan kepada pembangunan negara bangsa

BANGI, 8 Safar 1442H, Sabtu – Pakar sejarah merumuskan bahawa buku teks Sejarah Tingkatan 4 jelas memberi ruang kepada naratif prokomunis dan puak radikal.

Perkara itu didedahkan oleh Prof Datuk Dr Ramlah Adam pada mesyuarat pembentangan hasil kajian Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 (BTST4) KSSM, semalam.

Pembentangan berkenaan turut dihadiri ahli akademik, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), penulis buku dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sayap Wanita Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

Menurut Wanita PEMBELA, hujah daripada Prof Ramlah bersifat ‘no holds barred’ dengan tujuh perkara yang dihuraikan secara terperinci mengikut halaman dalam buku teks berkenaan.

“… lalu menyimpulkan bahawa BTST4 jelas memberi ruang yang banyak kepada naratif prokomunis dan puak radikal.

“Manakala, tokoh-tokoh pejuang serta organisasi sebenar yang berperanan penting waktu itu telah dicairkan peranan serta sumbangannya yang besar, penyelewengan fakta sejarah seperti ini boleh memberi kesan yang buruk kepada pembangunan negara bangsa,” katanya.

Wanita PEMBELA berkata, Prof Dr Ishak Harun juga mencadangkan supaya buku teks sejarah memberi ruang mengetengahkan peranan golongan ulama tempatan, sebagai pembangun peradaban negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Perkara 3(1).

“Walaupun tidak terkait dengan tema mesyuarat, dikira ianya suatu sumbang saran yang sangat penting untuk dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

“Dalam perbincangan dijelaskan juga bahawa pendukung sebenar penentangan Malayan Union, sekali gus pejuang kemerdekaan negara sehingga berjaya menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948 sudah tentu berpegang pada ideologi, falsafah dan prinsip berteraskan unsur-unsur watan.

“Jika tidak manakan elemen-elemen tersebut terpasak kukuh dalam Perjanjian Negeri-Negeri 1948 dan Perlembagaan Persekutuan hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button