Berita UtamaDunia

COVID-19: 20 kes baharu di Singapura

Satu kes komuniti babit seorang pemegang pas kerja

SINGAPURA, 8 Safar 1442H, Sabtu – Singapura mencatatkan 20 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 57,685.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata, terdapat lima kes import yang diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatannya setakat ini, kementerian itu mendapati terdapat satu kes komuniti membabitkan seorang pemegang pas kerja.

Kementerian itu berkata, ia sedang meneliti kes-kes dan dijangka mengeluarkan data yang dikemas kini malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu mendedahkan semua 11 kes yang dilaporkan semalam tidak bergejala dan dikesan menerusi langkah proaktifnya melakukan saringan dan pemantauan.

Setakat ini, MOH mengklasifikasikan 1,036 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,244 kes komuniti dan 54,385 kes membabitkan penghuni asrama.

Kementerian itu berkata, 57,341 kes sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 29 kes disahkan masih berada di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sementara itu, 268 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button