Hamas, Fatah setuju adakan pilihan raya Palestin
Pilihan raya akan diadakan secara 3 peringkat dalam masa 6 bulan

BAITULMAQDIS, 8 Safar 1442H, Sabtu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Fatah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya pertama di Palestin sejak hampir 15 tahun, lapor Agence France Presse (AFP).
Pilihan Raya Parlimen Palestin terakhir diadakan pada 2006 apabila Hamas meraih kemenangan besar.
Dalam pertemuan di Kedutaan Palestin di Istanbul semalam, dua parti terbesar Palestin berkenaan telah mencapai ‘visi bersatu’.
“Kami setuju dengan rancangan pilihan raya, dan merancang untuk meneruskannya menerusi dialog di seluruh negara – membabitkan semua pertubuhan di bawah naungan Presiden Mahmoud Abbas yang akan berlangsung sebelum 1 Oktober,” kata kenyataan itu.
Pengundian Parlimen dan Presiden akan dijadualkan dalam tempoh enam bulan di bawah perjanjian yang disepakati oleh Fatah, pemimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA) Mahmoud Abbas dan Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Wakil Ketua Biro Politik Hamas, Saleh Al-Arouri, mengatakan: “Kali ini kami mencapai kata sepakat. Perpecahan telah merosakkan perjuangan nasional dan kita berusaha untuk mengakhirinya.”
Agensi berita Wafa memetik Setiausaha Jeneral Fatah, Jibril Rajoub berkata, pilihan raya akan berlangsung dalam tiga peringkat dalam masa enam bulan.
“Kami akan mengadakan pemilihan legislatif, diikuti dengan pemilihan presiden dan kemudian pemilihan untuk Majlis Nasional Palestin,” katanya.- Agensi