Berita Utama

Kempen BMF bantu ekonomi Melayu, jom ubah nasib bangsa kita!

Jurang pendapatan isi rumah ikut kaum tunjukkan Melayu terus ketinggalan

BANGI, 8 Safar 1442H, Sabtu – Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) bukan kempen bermusim, tetapi nadi perjuangan ekonomi umat Islam – mesti dilakukan secara berterusan bagi membantu golongan B40 yang majoritinya orang Melayu. 

Pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz berkata, secara puratanya, jurang pendapatan isi rumah berdasarkan kaum juga menunjukkan bangsa Melayu terus ketinggalan berbanding India dan Cina. 

Bahkan, begitu juga golongan T20 di kalangan orang Melayu yang merekodkan penurunan berbanding bangsa lain. 

“Inilah fakta yang kita harus telan dan hadam. Ini bukan isu perkauman tetapi isu realiti yang berlaku. Kita tidak boleh mengharapkan orang atau bangsa lain untuk mengubah realiti. 

“Kita boleh mencari 1,001 sebab menyalahkan ahli politik tetapi itu juga tidak mengubah realiti, kerana kita tahu ahli politik hari ini bekerja untuk siapa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net. 

Beliau menegaskan, bangsa Melayu mempunyai pilihan sama ada untuk melihat sahaja dan membiarkan jurang terus melebar atau melakukan perkara kecil dan mudah tetapi impaknya besar jika semua bermuafakat.

“Tidak perlu kepada sentimen dan provokasi, hanya perlu hati yang bersih dan suci untuk mengubah realiti,” katanya.

Kempen BMF dilancarkan oleh Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) dengan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam serta memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Pelbagai usaha telah dilancarkan melalui kempen berkenaan, termasuklah pembukaan Malakat Mall – pasaraya besar yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim.

Kempen berkenaan terus melangkah ke depan dengan merancang membuka sebanyak 10 buah Malakat Mall dan 1,000 cawangan Raudhah Grocer dalam tempoh 10 tahun (2020-2031).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button