Bukankah Islam untuk semua?
Paling parah politik ikut sentimen, walhal bersaudara tak kira darjat dan keturunan
BUKANKAH kita satu umat? Kenapa tindakan kita tidak mencerminkan bahawa kita ini adalah pemimpin untuk semua atau kita adalah negarawan, merentasi daerah, kawasan dan sempadan?
Misalnya, apabila berlaku krisis beras, semua pemimpin negeri pakat-pakat menjaga negeri masing-masing, mahu pastikan bekalan beras mencukupi untuk rakyat berada dalam naungannya.
Saya jarang dengar lagi ada pemimpin negeri bercakap pasal negeri lain. Dalam maksud, kita bukan hanya bercakap pasal negeri kita sahaja. Apa makna Persekutuan? Apa makna negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, begitu juga negeri-negeri Selat?
Paling sedih, bila ada banjir berlaku di sebuah negeri, ada pemimpin Pusat bercakap, biar pemimpin negeri itu tangani sendiri, seolah-olah negeri tersebut, tidak berada dalam Persekutuan Malaysia. Kenapa jadi sebegini? Ikatan kita semakin hari semakin longgar. Sepatutnya, dalam dunia serba mencabar ini, kita semakin kuat atau mengikat. Bukankah kita bersaudara?
Allah SWT berfirman;
Orang-orang yang beriman itu bersaudara (al Hujurat – 10)
Ke manakah kita nak buang ayat ini? Saya masih teringat apabila banjir besar melanda Johor, pada suatu ketika dahulu, seluruh pelusuk negeri datang membantu, tanpa mengira, agama dan warna kulit. Inilah Islam yang sebenar, yang saya ingin lihat.
Islam yang saya fahami adalah untuk semua, kita adalah satu umat. Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Namun, saya tidak nampak perkara ini berlaku dalam bentuk realiti, lebih-lebih lagi hari ini. Kita terus menerus berpolitik, tidak pernah habis. Tidak ada penghujungnya.
Paling parah, kita berpolitik, terlalu bersentimen, tidak laksana tanggungjawab selaku Kerajaan Pusat, terlalu kenegerian, kedaerahan, kekawasanan. Bukankah kita agama merentasi sempadan? Kita terlalu berdendam dan menyimpan dendam? Sampai bila? Sedangkan bangsa lain, begitu hebat membantu bangsanya sendiri.
Kita sudahlah terlalu kenegerian, bantuan pulak bermusim. Misalnya, apabila berlaku PRK Pelangai, mencurah-curah beras sampai ke Pelangai. Banyak pula beras yang dibawa ke sana.
Kita di sini, saban hari, pergi ke kedai, berpuluh kedai, nak cari beras 10kg berharga RM26, susah sangat nak dapat. Rata-rata semua beras import.
Pernahkah kita terfikir mereka yang tidak mendapat beras? Kekurangan beras? Tidak mendapat beras harga berpatutan untuk makan?
Jika inilah Islam yang ditunjukkan kepada saya dahulu, pasti saya tidak memeluk Islam. Penonjolan Islam yang begitu buruk oleh mereka yang bergelar pemimpin.
Islam yang terlalu kedaerahan, kenegerian, bukan keMalaysiaan, keserantauan, atau keduniaan bersamaan satu umat.
Paling malang, ada pemimpin Pusat bercakap, biarlah banjir negeri tertentu tangani sendiri. Di manakah hati kita sebagai umat Islam?
Cukup…cukuplah berpolitik. Fikirkanlah kita ini satu umat. Apakah makna satu umat? Kita bersaudara, tidak kira negeri, bangsa, darjat dan keturunan.
Kita beriman kepada agama Islam, Allah yang satu, Nabi terakhir yang satu, al-Quran yang satu, hadis yang satu, kiblat yang satu, perlakuan ibadah yang satu, pakaian yang satu (umrah haji, mati) dan bermacam-macam lagi yang satu.
Malangnya, realiti sebenar, kita bukan satu, kita tidak bersatu, kita hidup ikut nafsu, akhirnya, kita semua jadi lesu, lemah, longlai, dan tidak bermaya. Orang lain ambil kesempatan. Apa yang kita ada hari ini? Apa yang menjadi milik kita?
Kita berebut-rebut cari beras, saya tengok orang lain, relaks sahaja. Mereka ada wang dan ada kuasa beli.
Justeru, bangunlah wahai umatku. Kita ada agama yang sangat mulia, wadah penyatuan dan segalanya, kenapa disia-siakan? Tidak ada penyatuan yang lebih besar maknanya, melainkan penyatuan agama. Inilah ingatan Allah SWT, berpegang teguh kepada tali Allah, jangan kamu berpecah belah (al Imran 103).
Saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa ini sepuluh tahun akan datang, kalau terus bersikap sebegini, kalau tidak pun seratus tahun. Kerajaan Pusat bermusuh dengan kerajaan negeri, begitu juga sebaliknya. Sedangkan yang dimusuhi itu adalah saudara seIslam, sebangsanya sendiri.
Ini tidak termasuk, setiap negeri, terlalu kuat kenegeriannya, ada negeri memberikan identiti bangsa sendiri, seolah-olah bangsanya, tidak sama dengan bangsa negeri lain. Di manakah konsep satu umat yang menjadi nadi kepada agama Islam ini?
Bandingkan dengan bangsa lain, satu contoh, dalam perjalanan Jinjang (MRT Sri Delima) ke Kepong (MRT Jinjang), Kuala Lumpur, saya tidak rasa berada dalam Malaysia, sebuah negara majoriti Melayu. Saya merasa berada dalam negara China. Malah lebih China dari China.
Penuh dengan bendera-bendera Cina dan lampu-lampu tanglung Cina, identiti Cina seratus peratus, tidak ada satu patah bahasa Melayu didaulatkan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) langsung tidak ambil tindakan. Sebelum bendera, banner, lampu digantung, sudah tentu perlu kepada kelulusan DBKL. Jika tidak ada kelulusan, mesti ada tindakan. Persoalan saya, mana mata hati dan hati budi DBKL dalam melihat dan meluluskan semua ini.
Nama-nama bangunan yang baharu naik, usahlah cerita, langsung tidak mencerminkan identiti negara ini. Nama-nama Barat dan nama-nama Cina. Dalam kata lain, orang Melayu (PBT) meluluskan. Orang Melayu sendiri yang menghancurkan bangsanya sendiri dan identiti negaranya sendiri. Nak buat macam mana?
Kuala Lumpur hari ini, tidak lagi menjadi wilayah berasaskan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan, tetapi sudah seperti London dan Hong Kong. Malah lebih teruk daripada itu, dari segi identitinya. Kita pun mendabik dada, inilah kemajuan. Kemajuan apa jika tidak ada identiti. Negara ini ada sejarahnya, tidak sepatutnya menjadi caca merba dan hilang terus identitinya.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah