Berita Utama

Pejuang hairan Anwar mengaku ada majoriti sokongan

18 MP tak termasuk golongan sokong Anwar, mana datang majoriti?

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1442H, Sabtu – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.

Menegaskan perkara itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mereka sama sekali tidak akan ‘terhegeh- hegeh’ menawarkan kerjasama dengan Presiden PKR itu.

Malah, katanya, tiada perbincangan mengenai perkara berkenaan antara kedua-dua pihak.

“Kami terdiri daripada Pejuang, Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setidak-tidaknya ada 18 orang.

“Mungkin jumlah 18 itu dianggap kecil dan Anwar sendiri menyebut bahawa kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam jumlah sokongan yang beliau terima,” katanya seperti dilapor Sinar Online, hari ini.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa hairan dengan kenyataan Anwar yang mendakwa mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk tujuan membentuk kerajaan baharu.

Ekoran itu, Anwar diminta mengemukakan bukti jumlah sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi membentuk sebuah kerajaan baharu seperti didakwa.

“Bukti itu perlu disertakan dengan akuan sokongan oleh semua Ahli Parlimen yang kononnya bersamanya untuk membentuk kerajaan.

“Ini kerana ketika ini tersebar nama-nama Ahli Parlimen dari UMNO yang dikatakan akan bersama Anwar tetapi seorang demi seorang sudah menafikannya. Ia menimbulkan banyak persoalan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button