Berita Utama

PRN Sabah lancar, tiada insiden tak diingini dilapor

Pelbagai agensi keselamatan lakukan kawalan ketat di sempadan

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1442H, Sabtu – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan di 741 pusat mengundi, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, pelbagai agensi keselamatan melakukan kawalan ketat di sempadan negara, bagi memastikan tidak berlaku kemasukan besar-besaran rakyat negara jiran bagi mengganggu proses pengundian PRN, walaupun terdapat cubaan untuk masuk ke negara ini.

“Situasi PRN Sabah selepas tamat proses pengundian pada 5 petang tadi terkawal, tanpa sebarang masalah dan isu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM dengan kerjasama agensi lain seperti PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, mengawal sempadan negara bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

“ATM dan agensi lain sentiasa mengukuhkan kawalan sempadan darat dan perairan negara melalui Op Benteng,” katanya.

Ahad lepas, Bernama melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran, untuk membuat kekacauan pada hari pengundian PRN Sabah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button