Berita UtamaIstimewa

PRU-15: Calon sanggup berjihad demi umat jadi keutamaan

Selidik latar belakang, pastikan berakhlak jangan lagi kita ditipu

BANGI, 8 Safar 1442H, Sabtu – Pengundi diminta untuk melihat serta menilik akhlak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen masing-masing daripada sekarang supaya dapat memilih calon yang tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Saranan itu disuarakan penganalisis politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir bagi mengelakkan generasi seterusnya dipimpin oleh mereka yang tidak berakhlak.

“Lihat dan tilik setiap ADUN dan Ahli Parlimen masing masing dari sekarang. Siapa mereka. Tengok akhlak mereka. Harta mereka. Solat mereka. Zakat mereka. Gaya hidup mereka dan keluarga.

“Pilih PRU akan datang calon yang beriman dan beramal soleh. Akhlaknya mulia. Ada jati diri dan pejuang untuk agama, bangsa dan negara. Ada matlamat yang jelas untuk umat. Berkorban dan berjihad untuk umat. Gelaran Imam Adil Allah kurniakan melalui hadis Rasulullah SAW,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya lagi, cukuplah kita ditipu oleh penipu, perompak harta negara serta dipimpin oleh mereka yang berakhlak buruk.

“Lihatlah apa yang terjadi sekarang bila negara dipimpin oleh mereka selama 63 tahun. Semenjak merdeka hingga kini kita masih ditipu kerana keburukan mereka diwariskan kepada keturunan mereka.

“Adakah kita rela melihat zuriat dan keturunan dipimpin oleh pemimpin yang tidak berakhlak. Pemimpin yang tamak mengumpul harta dan mengejar pangkat. Pemimpin yang menzalimi rakyatnya tanpa belas kasihan. Keringat rakyat mereka perah untuk memenuhkan tembolok mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button