Berita Utama

Tak pakai pelitup muka antara 115 individu ditahan ingkar PKPP

67 pendatang tanpa izin lagi ditahan dalam Operasi Benteng

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1442H, Sabtu – Seramai 115 individu lagi ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, seramai 111 individu dikompaun manakala empat direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak mematuhi penjarakan fizikal membabitkan 35 individu, keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) (31).

Dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5) dan tidak memakai pelitup muka (1), katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi Operasi Benteng, 67 pendatang tanpa izin ditahan manakala dua bot dan lima kenderaan darat dirampas hasil 98 Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilakukan semalam.

Memperincikan mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata seramai 35,116 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam.

Mereka semua yang pulang dari 32 negara ditempatkan di 66 hotel, dan sembilan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta seluruh negara, katanya.

“Daripada jumlah itu, 7,903 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 27,110 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau memaklumkan sejak 30 Mac sehingga semalam, 10,107 operasi sanitasi awam merangkumi 135 zon dilaksana melibatkan 13,050 premis termasuk 2,715 pusat perniagaan, 1,600 kawasan perumahan antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,623 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,758 bangunan kerajaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button