Dunia

Tak sampai sebulan, PM Lubnan Mustapha Adib umum berundur

Gagal bentuk Kabinet tak berpihak, terutama isi jawatan Menteri Kewangan

BEIRUT, 8 Safar 1442H, Sabtu – Perdana Menteri Lubnan, Mustapha Adib mengumumkan pengundurannya hari ini, setelah usaha membentuk Kabinet yang tidak berpihak gagal, terutama dalam mengisi jawatan Menteri Kewangan.

Dalam satu ucapan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, Adib berkata, beliau memutuskan mengundur diri daripada ‘tugas membentuk kerajaan’ setelah pertemuan diadakan dengan Presiden, Michel Aoun.

Pembentukan kerajaan di Lubnan bertemu jalan buntu berikutan desakan yang kuat untuk menyenaraikan pemimpin dua parti Syiah – Hizbullah yang disokong Iran dan sekutunya Gerakan Amal – di dalam Kabinet.

Adib, bekas Duta Besar ke Berlin dipilih pada 31 Ogos lalu untuk membentuk Kabinet.

Beliau berusaha untuk membentuk pemerintahan dalam sebuah negara, di mana kuasa dikongsi antara orang Islam dan Kristian, serta kesetiaan politik cenderung mengikut aliran sektarian.

Bagaimanapun, usahanya tidak kesampaian terutama dalam memilih pihak yang akan menerajui Kementerian Kewangan – jabatan penting untuk merangka semula inisiatif bagi menangani krisis ekonomi Lubnan. 

Kerajaan terdahulu Lubnan diketuai Hassan Diab meletak jawatan selepas insiden letupan besar ammonia nitrat di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 188 mangsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button