Berita Utama

Tembak ahli perniagaan, 12 ahli Geng 21 ditahan

Kedua-dua mangsa masih dirawat di zon merah, dilapor stabil

BANGI, 8 Safar 1442H, Sabtu – Polis memberkas 12 individu dipercayai ahli kongsi gelap Geng 21 susulan kejadian ahli perniagaan dan pengawal peribadi ditembak di hadapan sebuah sekolah di Telok Datok, Banting, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi khas sejak semalam hingga pagi tadi di sekitar Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Telok Panglima Garang.

“Polis percaya mereka ini adalah ahli kongsi gelap Geng 21.

“Kita masih mengesan saki-baki mereka yang dipercayai menjadi ahli kumpulan haram ini. Kesemua yang ditangkap kini direman empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, Azizan berkata, dua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu masih dirawat di zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dengan keadaan separuh sedar dan dipasang alat bantuan pernafasan di HTAR.

“Pemeriksaan terhadap salah seorang mangsa mendapati satu das tembakan mengenai bahagian tangan kanan sehingga tembus ke rusuk kanan. Ia menyebabkan peluru tersangkut pada tulang belakang. Satu lagi tembakan juga didapati tembus pada lengan kiri mangsa.

“Mangsa kedua pula iaitu pengawal peribadi kepada mangsa pertama didapati terkena beberapa das tembakan selain sembilan kesan lubang pada badan, manakala satu peluru turut tersangkut pada tulang belakangnya,” katanya.

Semalam, sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan dipercayai ditembak oleh dua individu yang menaiki sebuah motosikal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button