5,000 lagi rumah haram Yahudi dibina di Tebing Barat
Majlis Perancangan dan Pembangunan Tinggi Israel mula projek selepas cuti umum

TEL AVIV, 9 Safar 1442H, Ahad – Negara haram Israel sekali lagi meluluskan pembinaan 5,000 unit penempatan baharu untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
Media tempatan melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan Majlis Perancangan dan Pembangunan Tinggi menjalankan projek berkenaan selepas cuti umum di negara itu.
“Netanyahu arahkan Majlis meluluskan pembinaan 5,000 unit rumah di puluhan kawasan penempatan di Tebing Barat,” lapor media.
Setakat ini, kerajaan rejim pengganas itu tidak mengesahkan atau menafikan mengenai arahan berkenaan.
“Pemimpin penjajah di Tebing Barat mengharapkan Netanyahu menepati janjinya dengan membabitkan Majlis Tertinggi untuk meluluskan projek pembinaan,” lapor media Israel.
Difahamkan, kerajaan Tel Aviv telah bersetuju membina 3,412 unit rumah haram Yahudi di Timur Baitulmaqdis.
Israel kerap memberi alasan bahawa pemusnahan penempatan Palestin kononnya disebabkan tiada permit pembinaan, namun pada masa sama, penduduk Yahudi terus memperluaskan penempatan haram.
Memetik Agensi Anadolu, lebih 428,000 penduduk haram Yahudi tinggal di 132 kawasan di Tebing Barat yang diduduki.
Angka itu termasuk 18 penempatan di Timur Baitulmaqdis yang dihuni oleh lebih 220,000 penduduk haram Yahudi. – Agensi