Berita Utama

‘Apa erti demokrasi jika kerajaan ditentukan parti, orang politik’

Gubal akta lompat parti elak rasuah, runtuh kerajaan sesuka hati

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad –  Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia kerajaan yang dibentuk boleh dibina atau diruntuhkan hanya dengan ditentukan oleh wakil rakyat dan parti yang tidak berpendirian.

Bahkan, apa erti demokrasi jika hak rakyat yang menentukan kerajaan melalui pilihan raya terus tercalar angkara perebutan kuasa, hingga wujudnya kerajaan yang pemerintah ditentukan parti dan orang politik.

Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohd Fadzil Abd Rahman menyifatkan golongan berkenaan tidak menghormati mandat asal diberikan rakyat kepada mereka.

“Demokrasi dan semangat perjuangan apa sebenarnya dipertontonkan puak ini? 

“Sudah berbuih sejak kebelakangan ini, dilontarkan pandangan berhubung penting akta lompat parti dan penilaian semula terhadap sistem dan kaedah pembentukan kerajaan dikaji,” katanya dalam tulisan di Berita Harian (BH), hari ini.

Beliau berkata, akta itu boleh mengelakkan suasana politik seperti hari ini berulang, meskipun bukan mudah untuk menggubal satu akta dan perundangan.

“Pelik tetapi benar. Kita sentiasa dihidangkan berita dan laporan mengenai tawar-menawar dan janji lumayan serta habuan diberikan buat seseorang penyandang kerusi politik untuk melompat parti secara terbuka.

“Malah, dalam kes tertentu seperti diikuti melalui saluran pelbagai media, kisah beli kerusi disebut secara terang terangan berserta jumlah wang ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, umum seolah-olah boleh terus berdiam diri dan menerimanya sebagai lumrah dunia politik.

“Tidakkah itu berpotensi besar mengundang budaya rasuah secara terhormat? Menariknya, orang politik juga gah menjuarai isu berkenaan supaya dibanteras setiap kali kempen dilaungkan.

“Malah, mana-mana kerajaan memerintah atau bakal memerintah sekalipun sudah pasti menjadikan isu rasuah subjek utama dalam ikrarnya.

“Jadi, apalah sangat susahnya mengusul dan menggubal akta lompat parti sebagai langkah asas membendung gejala rasuah, pada masa sama mengelak berlaku runtuh-meruntuh kerajaan sesuka hati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button