Berita Utama

Bagaimana gas karbon monoksida membunuh anda?

Apabila tahap CO meningkat dan kekal lebih 70 ppm, seseorang boleh sakit kepala, keletihan dan loya

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad – Faktor terpenting yang boleh menyebabkan kematian ketika tidur dalam kereta adalah karbon monoksida (CO) iaitu komponen utama dalam asap ekzos kereta.

Lebih-lebih lagi kenderaan ‘berusia’ apabila sistem mekanikal kereta tidak sesuai dengan standard yang ditetapkan berkemungkinan boleh berlaku kebocoran ekzos, kata Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

Pensyarah Kanan dan Penyelidik Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, jumlah besar CO terkumpul dalam ruang kenderaan anda, risiko maut menanti tanpa disedari kerana kita sedang bernafas dalam racun yang tidak berbau dan berwarna.

Selain itu katanya, peningkatan karbon monoksida juga boleh berlaku disebabkan penghawa dingin yang tidak dapat berfungsi dengan baik yang boleh jadi penyebab kematian ketika tidur.

“Bagaimana gas CO membunuh anda? Ini berlaku apabila ia akan mengurangkan kemampuan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam badan anda termasuk otak dan akan mengakibatkan kekurangan oksigen dalam otak seterusnya membawa maut.

“Apabila tahap CO meningkat dan kekal lebih 70 ppm (kepekatan dalam 1 molekul CO dalam sejuta – ppm), seseorang itu boleh mengalami sakit kepala, keletihan dan loya.

“Pada kepekatan CO yang berterusan lebih 150 hingga 200 ppm pula akan mengakibatkan seseorang itu tidak sedarkan diri yang boleh membawa kematian,” katanya.

Prof Mohd Shahrul berkata, walaupun dalam keadaan kereta dengan sistem penghawa dingin berfungsi dengan baik, peredaran udara di ruang kenderaan tetap tidak mencukupi bagi seseorang untuk menghirup udara di tempat tertutup.

“Langkah terbaik, elakkan tidur dalam kereta. Namun, jika dalam keadaan mendesak memerlukan tidur dalam kenderaan, pastikan enjin kenderaan dimatikan.

“Tingkap dibuka seluas-luasnya serta carilah tempat yang sesuai untuk berehat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button