Berita Utama

Cadangan kanak-kanak solat di masjid boleh dilaksana di zon hijau

Serah kepada jawatankuasa masjid, dapatkan pandangan JKN, MKN

KUALA LUMPUR, 9 Safar 1442H, Ahad – Cadangan membenarkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunaikan solat di masjid mungkin boleh dilaksana sekiranya terdapat kelonggaran dalam aspek penjarakan fizikal.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun keutamaan solat berjemaah di masjid tertumpu kepada golongan dewasa, kebenaran untuk kanak-kanak juga wajar diambil kira – untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya lihat cadangan membenarkan kanak-kanak solat di masjid ini boleh dilaksanakan di zon hijau.

“Mungkin kerajaan boleh bertolak ansur dengan mengurangkan jarak fizikal supaya lebih ramai anak kecil dapat mengerjakan ibadat,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan mesti diserahkan kepada pertimbangan jawatankuasa masjid selain mendapat pandangan pihak berkuasa berkaitan terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau pada masa sama mengingatkan supaya berlapang dada dan patuh arahan sekiranya pihak berkuasa menyekat kanak-kanak solat di dalam masjid.

“Kelonggaran sekatan bagi masjid perlu dibuat secara berhati-hati jika dibandingkan dengan tempat awam yang lain seperti pasar atau sekolah.

“Ini berikutan, sekiranya berlaku jangkitan, ia dibimbangi menjejaskan imej institusi itu antaranya dengan tuduhan munculnya kluster masjid,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata, perbincangan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan MKN akan dibuat berhubung kebenaran kanak-kanak menunaikan solat berjemaah di masjid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button