Berita Utama

Jika penjajah mudahnya tukar nama asal, kenapa kita tak boleh?

Patutkah nama George Town, Butterworth dikekalkan dalam negara merdeka

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad – Jika penjajah dengan mudahnya menukar nama asal kepada nama baharu, mengapa kita tidak boleh lakukan sebaliknya, kata Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau berkata, walaupun beberapa tempat sudah dikembalikan kepada nama asal, seperti Telok Intan dan Pelabuhan Klang, banyak lagi yang masih kekal dengan nama penjajah termasuk di Pulau Pinang dan Melaka.

Katanya, sentimen mengubah atau mengembalikan kepada nama asal mahupun yang bersifat setempat dalam mencerminkan naratif nasional, sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Mengapa harus kita mengekalkan nama George Town, Butterworth atau St Paul Hill dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat?

“Selepas 63 tahun merdeka, kita masih gagal, daif dan alpa. Kita terpinga-pinga apabila ditanya mengenai Port Dickson,” katanya menulis di Berita Harian. 

Prof Ahmad Murad percaya perkara ini berlaku kerana tiada kesedaran atau gerakan di Negeri Sembilan sendiri untuk mengembalikan Port Dickson kepada nama asalnya – Tanjong.

“Ada yang menyebutnya sebagai Tanjong Tin. Tempat itu adalah pelabuhan mengeksport bijih timah dari Lukut sejauh kira-kira tujuh kilometer, dihubungi oleh landasan kereta api.

“Pulau Pinang secara tidak sedar kita kaitkan dengan tahun 1786 – di mana dikatakan Francis Light memacak bendera Inggeris lalu menukar nama-nama tempatan – Tanjong Penaga dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, kini Tanjong Penaga dinamakan sebagai George Town, manakala Prince of Wales Island ditukar dengan Pulau Pinang.

“Namun, gejala penjajahan baharu ini dilihat pada nama Prince of Wales Island International School yang ditubuhkan di Balik Pulau tahun 2011. Penjajahan masih kekal,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menuntut nama asal Bukit Melaka dikembalikan bagi mengganti nama diberi penjajah iaitu Bukit St Paul.

Menerusi ‘Kempen Kembalikan Nama Asal, Hapuskan Jejak Penjajah itu, Pemuda ISMA turut mendesak Tanjong Penaga dan Bagan Tuan Kechil diguna pakai semula menggantikan George Town serta Butterworth.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button