Kerajaan baharu Sabah perlu ubah dasar lama tak untungkan ekonomi
Tarik pelaburan berkaitan perniagaan hiliran daripada negara Asia Timur

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad – Sabah mempunyai banyak potensi ekonomi belum diterokai sepenuhnya, namun dengan strategi yang betul, potensi sedemikian dapat dibangunkan secara realistik.
Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan baharu – bakal dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – untuk memajukan lagi ekonomi yang sudah lama dinantikan 3.6 juta penduduk negeri itu.
Felo Akademi Sains, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim berkata, pelaburan dalam infrastruktur jalan raya dan pelabuhan mesti diberi keutamaan, selain pelan ekonomi yang mengambil kira peluang baharu yang akan terhasil di Kalimantan, apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya ke sana.
“Pelabuhan dan sokongan logistik lain mesti dinaik taraf untuk merancakkan lagi eksport ke negara di Asia Timur terutama China, Korea Selatan dan Jepun,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.
Prof Ahmad Ibrahim berkata, pelaburan hiliran dalam minyak sawit, kayu balak dan produk pertroleum juga mesti dirancang rapi, sambil menyarankan bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menarik pelaburan dalam bidang berkaitan perniagaan hiliran itu daripada negara Asia Timur.
Untuk tujuan itu, katanya, Sabah perlu menyediakan infrastruktur utiliti berdaya saing termasuk jalur lebar bagi menarik pelaburan.
Pada masa sama, beliau berkata, tiada sebab Sabah tidak dapat mencapai kemajuan ekonomi lebih baik selepas hampir 60 tahun menyertai Malaysia, berikutan negeri itu mempunyai kekayaan daripada pelbagai sumber semula jadi.
Justeru, katanya, Sabah memerlukan strategi dan dasar betul bagi merealisasikan potensi itu.
Katanya, negeri itu bukan sahaja perlu menarik pelaburan betul yang boleh memanfaatkan sumbernya yang kaya, malah perlu mempunyai individu yang berbakat untuk menjayakannya.
“Kerajaan baharu perlu mengubah dasar lalu mengenai bakat yang jelas tidak menguntungkan perkembangan ekonomi. Sebaliknya, perlu mewujudkan satu dasar lebih kondusif untuk merangsangkan ekosistem bakat dan teknologi jitu.
“Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Sabah kekal sebagai negeri kaya tetapi terus miskin,” katanya.