Berita Utama

Kerajaan dibentuk GRS masih tak stabil, isu KM akan jadi pertikaian

Bila-bila masa wakil rakyat yang menang 'lompat' sokong Warisan

BANGI, 9 Safar 1442H, Ahad – Meskipun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, kerajaan yang bakal dibentuk masih tidak stabil.

Ini kerana, berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, berkemungkinan akan timbul pertikaian jawatan Ketua Menteri sesama parti gabungan, terutama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan wakil rakyat Bersatu akan menjadi Ketua Menteri, keputusan itu pastinya akan ditentang oleh UMNO.

Beliau yakin pertikaian itu akan mencetuskan pergolakan berpanjangan di dalam GRS, yang mungkin menjadi faktor wakil rakyat dalam gabungan akan melompat menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kegagalan GRS mendapat dua pertiga jumlah kerusi membuktikan bahawa Warisan masih sangat kuat dalam kalangan rakyat Sabah.

“Seperti yang saya perkatakan, majoriti sebanyak hanya enam kerusi adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah oleh GRS.

“Pada bila-bila masa sahaja wakil rakyat yang menang itu bertukar arah dan melompat menyokong Warisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) malam tadi, GRS – dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – memperoleh majoriti mudah iaitu 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Majoriti mudah 38 kerusi itu diperoleh hasil kemenangan parti gabungan tersebut yang mana PN (17 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi, manakala PKR menang dua kerusi, seterusnya Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya satu kerusi. Manakala calon Bebas pula memenangi tiga kerusi.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berpandangan bahawa kemenangan GRS adalah kerana faktor Muhyiddin yang semakin popular dalam kalangan rakyat.

“PRN kali ini menghidangkan kita seruan-seruan provokatif seperti ‘Sabahan untuk Sabahan’ dan seruan lain yang membenci Semenanjung pasti memberikan kesan jangka masa panjang dalam pemikiran rakyat.

“Ini sebenarnya tidak baik untuk kesejahteraan negara. Sentimen ini hanya akan membakar kebencian rakyat Sabah terhadap Kerajaan Pusat dan Malaysia secara amnya.

“Apa-apa pun, tahniah kepada GRS atas mandat yang diberikan oleh rakyat ini. Semoga tanggungjawab digalas dengan baik dan membawa kebaikan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button