Berita UtamaDunia

Kuwait akan pastikan rakyat Palestin dapat hak mereka

Perjuangan Palestin masih penting dalam dunia Arab, Islam

KUWAIT, 9 Safar 1442H, Ahad – Kuwait tetap bertegas dengan prinsip untuk mendukung harapan rakyat Palestin mendapatkan hak mereka yang sah, lapor Anadolu Agency.

Menerusi pautan video ketika sesi ke-75 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri Kuwait, Sabah Khalid Al-Hamad Al-Sabah berkata, perjuangan Palestin masih dalam sejarah penting dunia Arab dan Islam.

Tegasnya, amat penting untuk mengadakan semula rundingan bagi mencapai perdamaian yang adil dan menyeluruh sesuai dengan Inisiatif Damai Arab.

Bahkan beliau turut meminta pendudukan haram Israel dihentikan supaya penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota dapat dilaksana.

Ogos lalu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan perjanjian dengan Israel untuk menjalin hubungan diplomatik dan menormalkan hubungan.

Bahrain mengikutinya dan ketiga-tiga negara menandatangani Perjanjian Abraham di Rumah Putih pada 15 September.

Bahrain menjadi negara Arab yang keempat menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir mengambil langkah itu pada 1979, Jordan (1994) dan UAE (2020).

Perjanjian berkenaan mendapat kecaman besar-besaran daripada rakyat Palestin yang menyifatkannya sebagai tidak membantu menangani isu Palestin dan mengabaikan hak mereka.

Menurut pihak berkuasa Palestin, sebarang perjanjian dengan Israel mesti berdasarkan prinsip Inisiatif Damai Arab 2002, iaitu ‘tanah untuk perdamaian’ dan bukan ‘berdamai untuk perdamaian’ seperti yang dituntut oleh Israel.

Pada masa sama, Al-Sabah juga menegaskan kembali kedudukan Kuwait bahawa penyelesaian politik adalah satu-satunya jalan keluar untuk krisis yang sedang berlaku di Yaman.

Beliau meminta semua pihak untuk menyetujui cadangan yang dikemukakan wakil PBB ke Yaman, Martin Griffiths.

Perdana Menteri Kuwait itu turut mendesak semua pihak dalam konflik Libya untuk menahan diri dan membenarkan penyelesaian damai berdasarkan dialog. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button