Berita Utama

Kerajaan patut selesai isu kartel, baru fokus subsidi bersasar

'Inilah contoh kerajaan malas kaji, rangka solusi jangka panjang buat rakyat'

BANGI, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – BERJASA menyifatkan konsep subsidi bersasar yang cuba dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pincang tanpa perancangan dan pelaksanaan yang baik.

Bahkan, tindakan menghentikan subsidi ayam juga adalah tindakan yang tidak strategik, tidak telus dan tidak mampu menyelesaikan masalah utama yang telah berlaku di negara ini.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim berkata, kerajaan sepatutnya menangani terlebih dahulu isu utama berkaitan kartel berbanding melaksanakan subsidi bersasar.

Ini kerana, penamatan subsidi dan kawalan harga ayam hanya akan membebankan rakyat terutama golongan miskin yang sudah terhimpit dengan pelbagai isu kenaikan harga barang serta kos sara hidup, katanya.

“Penjimatan berjumlah berbilion ringgit yang kononnya akan disalurkan kembali untuk manfaat golongan B40 juga tidak jelas serta dipertikaikan mekanismanya. Banyak ketirisan yang bakal berlaku nanti.

“Jika benar ketirisan subsidi berlaku kerana dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, banyak cara lain yang lebih efektif untuk menyelesaikan permasalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai permulaan, Muhammad Lukman mendesak kerajaan untuk mengadakan kajian mendalam terhadap rantaian pembekalan semua jenis makanan asas di Malaysia.

Beliau berkata, sebarang bentuk monopoli, manipulasi oleh kartel atau orang tengah yang menjadi punca kekurangan bekalan harus dibanteras.

“Kedua, pemantauan dan pengkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 juga perlu diperkasa dengan strategi yang lebih ampuh contohnya menambah bilangan pegawai penguatkuasa dan menggubal akta supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

“Ketiga, ekosistem perladangan di Malaysia juga perlu dirombak dan ditambahbaik melalui model ekonomi komuniti luar bandar, program pembangunan perladangan inklusif, suntikan dana serta infrastruktur dan teknologi terkini kepada semua penternak,” katanya.

Merujuk contoh di China, katanya, Beijing telah berjaya membantu sejumlah 800 juta petani miskin sejak 1978 dengan memberikan bantuan dana terus melebihi AS$400 bilion untuk membantu pembangunan luar bandar, pendidikan, infrastruktur serta pengeluaran hasil tanah.

“Malangnya, kerajaan Malaysia hari ini mengambil jalan mudah dan cepat bagi menghentikan subsidi.

“Inilah contoh kerajaan yang malas mengkaji dan merangka solusi jangka masa panjang buat seluruh rakyat negara,” katanya.

Bermula 1 November lalu, penamatan subsidi dan kawalan harga bagi ayam telah berkuat kuasa secara rasmi.

Penamatan subsidi ayam adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan, seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button